Persidangan Pertama Kongres_Rakyat

Persidangan Kongres Rakyat kali pertama yang dihadiri oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu perseorangan telah diadakan pada 12 September 2015 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor. Persidangan telah diketuai oleh Speaker Kongres Rakyat Nasional, Saudara Mustaffa Kamil Ayub dari Parti Keadilan Rakyat.

Resolusi Persidangan Pertama

Sekretariat telah mengeluarkan Pengisytiharan Kongres Rakyat sebagai resolusi persidangan pertama. Kongres Rakyat bertemakan Membina Malaysia Sejahtera mengisytiharkan:

  1. Bersatu untuk membentuk sebuah Malaysia yang makmur dalam kerangka integrasi nasional dan bersama-sama menggembelingkan tenaga bagi menangani krisis yang sedang melanda negara.
  2. Bertindak menyedarkan rakyat ke arah mengembalikan semula tunjang-tunjang sistem ketatanegaraan yang adil dan saksama melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan dan mengkaji semula semua undang-undang yang memeras rakyat.
  3. Bertindak mewujudkan amalan politik yang tulus dan telus seterusnya mengawal kegiatan politik dan perilaku ahli-ahli politik agar tidak menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
  4. Menjadikan agenda pendidikan sebagai wahana terpenting ke arah memupuk kesedaran rakyat dalam membuat perubahan sosial, ekonomi dan politik, demi mengelakkan pendekatan yang boleh menghuru-harakan negara.
  5. Berusaha sedaya upaya membela golongan rakyat yang terpinggir dari arus pembangunan seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, wanita, pekebun kecil, golongan miskin, golongan yang tidak mampu bekerjaya dan lain-lain.
  6. Bertindak mendesak kerajaan mengembalikan sistem pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman bagi menjamin integriti dan ketelusan dalam urus tadbir negara.
  7. Bertindak untuk menggesa kerajaan supaya diwujudkan segera satu badan perunding ekonomi negara yang lebih inklusif, mewakili semua golongan rakyat dan bebas dari pengaruh mana-mana pihak demi untuk menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku.

Kongres Rakyat telah mengumumkan pembentukan satu Jawatankuasa Penggubal Pelan Tindakan Rakyat yang akan dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres, dan diuruskan oleh sekretariat.